Berbasikal untuk jantung yang sihat
Senaman adalah penting
untuk kesihatan fizikal dan emosional kita. Selain daripada mampu
menggembirakan kita melalui pelepasan hormon "endorphin", ia juga
membantu kita mengawal berat badan dan memastikan setiap sel tubuh
berada dalam keadaan optimum. Kajian terbaru yang dijalankan oleh salah
sebuah jurnal perubatan terkemuka dunia, The Lancet, mendedahkan bahawa
satu pertiga daripada golongan dewasa di dunia tidak aktif secara
fizikal, dan gaya hidup ini mengorbankan lebih kurang lima juta orang
setiap tahun. Malaysia diletakkan pada tangga ke-10 bagi negara paling malas di dunia dengan kadar tidak aktif di kalangan dewasa pada 61.4%.
Ramai
yang mengetahui bahawa berbasikal merupakan antara cara terbaik untuk
kekal sihat dan cergas. Berbasikal merupakan senaman yang ideal bagi
masyarakat di semua peringkat umur dan latar belakang. Tidak seperti
tanggapan umum, berbasikal bukan hanya tertumpu pada bahagian kaki.
Berbasikal merupakan aktiviti kardio pernafasan yang menguatkan badan
dan pada masa yang sama membolehkan pengamalnya bergembira dan
bersosial. Berbasikal secara kerap membantu mengelakkan penyakit seperti
barah, kencing manis, obesiti, artritis dan juga kemurungan. Berbasikal
secara keseluruhannya dapat meningkatkan kadar kecergasan seseorang,
namun kelebihan berbasikal bagi jantung adalah lebih besar.
Melancarkan aliran darah
Aliran
darah yang lancar dapat meningkatkan daya ingatan dan konsentrasi
seseorang kerana pengumpulan toksin dalam badan dihalang. Berbasikal
mampu mengerjakan jantung dan saluran darah dengan mengalirkan darah
yang tinggi kandungan oksigen ke seluruh badan, sambil membakar lemak
badan dan mengurangkan selulit. Ia juga mengalakkan jantung menjadi
lebih efisien dan memperbaiki sistem pernafasan dan aliran darah dengan
menguatkan otot jantung.
Mampu mengawal tekanan darah
Berbasikal
meningkatkan kawalan tekanan darah sebanyak 10/8 mmHg bagi pesakit yang
mengalami darah tinggi dan membantu merendahkan kadar tekanan darah
sewaktu rehat bagi mengurangkan risiko kematian secara mengejut bagi
mereka yang sihat (Journal of Cardiovascular Pharmacology, 1995). Ia
juga mengurangkan mendapan darah dan lemak badan pada arteri, serta
meningkatkan kemampuan badan untuk mencegah pelbagai jenis penyakit
termasuklah kencing manis dan darah tinggi. Berbasikal secara kerap
menjadikan kadar kematian bagi kedua-dua jantina bagi semua peringkat
umur turun sebanyak 40% (Journal of Internal Medicine, 2000).
Mengurangkan paras kolesterol `jahat'
Berbasikal
juga berfungsi sebagai pengawal tubuh yang baik. Ia memainkan peranan
dalam mengurangkan kadar kolesterol jahat, LDL, sambil meningkatkan
kadar kolesterol baik, HDL. Semakin tinggi nisbah HDL/LDL anda, lebih
sihat badan anda kerana kolesterol lebih banyak dibuang berbanding
dikumpulkan. Ini bermakna terdapat kurang kolesterol dalam badan yang
akan diserap masuk ke dalam tisu dan arteri, lantas mengelakkan keadaan
bergelar arteriosklerosis. Berbasikal secara kerap mengurangkan sebanyak
50% risiko menghidap penyakit kardiovaskular seperti stroke, penyakit
yang keempat paling banyak membunuh di Malaysia. (Helping Needy Stroke Victims, The Star Online, 2011).
Terdapat
banyak tip latihan yang dapat anda amalkan untuk meningkatkan prestasi
berbasikal. Berikut merupakan beberapa cara mudah untuk menguatkan badan
dan mencergaskan diri semasa senaman:
Pemakanan yang seimbang -
Amalan pemakanan yang baik merupakan langkah pertama untuk kekal cergas.
Memakan makanan yang berkhasiat dengan sayur-sayuran hijau, buah-buahan
serta hidangan yang terdiri daripada protein dan karbohidrat yang
lambat dihadamkan dapat membantu badan anda mendapatkan nutrien yang
diperlukan, menggantikan tisu yang terpakai serta menghasilkan tenaga.
Menghidratkan
tubuh - Penyahhidratan mengehadkan prestasi anda dalam acara kompetitif
dan boleh mengakibatkan kekejangan otot serta masalah lain. Malah,
kekurangan air dalam badan walaupun pada kadar yang sedikit boleh
merendahkan metabolisme dan mengurangkan kemampuan anda untuk bersenam
secara efisien. Amalkan pengambilan air pada selingan masa yang tetap
sepanjang 2-4 jam selepas anda berbasikal bagi menghidratkan tubuh anda
semula.
Kekal fleksibel - Aktiviti memanaskan dan menyejukkan
badan yang dijalankan dengan cara yang betul merupakan faktor penting
bagi mengelakkan kecederaan. Pemanasan badan membantu anda untuk
bersedia secara mental dan fizikal bagi aspek-aspek sukan yang lebih
mencabar, manakala penyejukan badan membantu badan anda untuk kembali ke
mod rehat secara perlahan-lahan.
Mendapatkan tidur yang cukup -
Kebaikan tidur memberi kesan kepada hampir semua aspek kehidupan
seharian kita. Badan anda menghasilkan molekul protein dengan lebih
banyak ketika anda tidur, dan ini menjadikan anda lebih kuat melawan
jangkitan serta membantu anda untuk kekal sihat.
DOA RASULULLAH KEPADA ANAS BIN MALIK DAN IBNU ABBAS
10 bulan yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan