AS beri tekanan terbuka, gesa Mesir mansuh darurat 30 tahun
February 09, 2011
KAHERAH, 9 Feb — Dilihat sebagai tekanan terbuka ke atas pentadbiran Hosni, Amerika Syarikat (AS) menggesa kerajaan Mesir menarik balik undang-undang darurat yang dikuatkuasakan sejak 30 tahun lalu.Naib Presiden AS Joe Biden membuat gesaan itu ketika menghubungi rakan sejawatannya Omar Suleiman semalam.
Gesaan itu dibuat sehari selepas penunjuk perasaan meningkatkan protes mereka di Kaherah dan di beberapa bandar raya lain.
Demonstrasi di tengah Kaherah berlarutan sejak 25 Januari lalu.
Gesaan dan peningkatan protes disaksikan meskipun kerajaan mengumumkan rancangannya mahu melihat peralihan kuasa secara aman.
Mereka mendesak Presiden Hosni Mubarak berundur segera sedangkan pemimpin itu mahu kekal dalam jawatannya sehingga September ini dan tidak bertanding semula buat penggal keenam.
Biden dikatakan memberitahu Omar bahawa pelan peralihan yang luas seharusnya membawa kemajuan “segera, tidak boleh ditarik balik.”
Beliau juga memberitahu menteri dalam negeri Mesir bahawa pihaknya harus menghentikan segera tindakan menahan dan memukul pemberita dan membenarkan kebebasan berhimpun.
Laporan BBC menyebut, ini kali ini pertama sejak kebangkitan rakyat 25 Januari lalu Washington membuat tuntutan secara khusus yang terbuka.
Laporan media asing juga menyebut, peningkatan protes menunjukkan langkah diumumkan kerajaan Mesir sejak beberapa hari lalu tidak mencukupi.
Demonstrasi juga menyaksikan kehadiran dalam jumlah yang ramai di Iskandariah dan beberapa bandar lain.
Buat masa ini Hosni telah menubuhkan jawatankuasa untuk mengesyorkan pindana perlembagaan.
Antara pindaan dikaji ialah mengehadkan tempoh mandat presiden.
Pertubuhan Human Rights Watch (HRW) melaporkan seramai 297 orang terbunuh sejak 28 Januari lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan