Isnin, 6 Ogos 2012

SEJARAH MALAM LAILATUL QADAR ليلة القدر خير من الف الشهر

Wujudnya Lailatul Qadar apabila Rasulullah berdoa kepada Allah setelah melihat kehebatan seorang lelaki Bani Israil yang sentiasa menghunuskan pedang (berperang) membela agama Allah selama 1000 bulan (lebih kurang 83 tahun). Disebabkan terpegun akan kehebatan lelaki itu lalu baginda berdoa :
"Ya Tuhanku, Engkau jadikanlah umatku lebih pendek umurnya dan lebih sedikit amalnya (amal yang sedikit, tetapi ganjarannya besar."
Kemudian Allah memakbulkan doa baginda dengan memberikan Lailatul Qadar kepada umat Nabi Muhammad S.A.W yang mana jika seseorang menghidupkan satu malam itu sahaja, ganjarannya lebih baik dari lelaki Bani Israil yang berjihad selama 1000 bulan itu.
Siapakah lelaki Bani Israil itu?
Dikatakan bahawa nama lelaki itu ialah Syam'un, berperang dengan musuh selama 1000 bulan, tidak pernah kering bulu tengkuk kudanya dan sememangnya orang-orang kafir gerun untuk menghadapinya. Sehinggalah tiba satu pengkhianatan dari isteri beliau apabila ditawarkan oleh orang kafir sebuah bejana yang dipenuhi dengan emas jika berjaya mengikat suaminya itu.
Pada satu malam, niat isterinya yang khianat itu untuk mengikat suaminya dengan tali berjaya dilaksanakan. Namun, ketika Sya'mun sedar daripada tidur dan menggerakkan badannya semua tali itu putus dengan mudah.
Lalu beliau bertanya kepada isterinya : "Mengapa kau berbuat sedemikian?"
Lalu isterinya yang jahat itu menjawab: "Aku hanya ingin menguji kekuatanmu sahaja."
Isterinya menceritakan hal itu kepada orang-orang kafir. Segeralah mereka memberi rantai besi kepada isteri yang jahat itu untuk mengikatnya sekali lagi. Namun, ikatan besi pada badan Syam'un diputuskan dengan amat mudah sahaja. Apabila isteri beliau ditanya, dijawabnya jawapan yang sama.
Lalu menyamarlah Iblis sebagai manusia dan mendatangi orang-orang kafir dan isteri Syam'un yang sedang melaporkan gerak kerja yang gagal tersebut. Maka Iblis tersebut memberi cadangan agar isteri Syam'un bertanya kepada suaminya apakah benda yang mampu mengikatnya. "Helaian rambut yang tumbuh di dagu ku ini," jawab Syam'un dengan jujur kepada isterinya apabila ditanya.
Memang tidak dinafikan bahawa Syam'un mempunyai lapan helai janggut yang amat panjang hingga ke tanah. Ketika beliau tidur, si isteri mengikat kaki dan tangannya dengan kelapan-lapan janggutnya tersebut. Kemudian orang-orang kafir membawanya ke tempat penyeksaan dan penyembelihan yang amat luas dan tingginya 400 hasta dengan satu tiang. Maka bermulalah penyeksaan mereka dengan memotong kedua telinganya dan bibirnya.
Kemudian Syam'un memohon kepada Allah S.W.T agar memberinya kekuatan untuk memutuskan ikatan dan dapat merobohkan tempat penyeksaan tersebut. Allah mengkabulkan doanya dengan berjayanya Syam'un melepaskan diri dari ikatan itu dan berjaya merobohkan tempat itu dengan menolak tiang yang membuatkan tempat itu tidak stabil lalu runtuh menghempap semua orang kafir kecuali Syam'un sahaja yang terselamat.
[Kisah ini diambil dari hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas]
Akhir kalam, adakah saudara tahu sejarah ini? Malulah kita beribadah kepada Allah tanpa mengetahui sejarahnya. Seperti ibadah solat, kita tahu sejarah baginda mendapat perintah solat pada malam Isra' Mikraj yang asalnya 50 waktu ditukar kepada lima. Semoga dengan tahunya sejarah Lailatul Qadar membuatkan kita bersungguh-sungguh untuk mencari malam yang lebih baik dari 1000 bulan tersebut.
Kisah ini diambil dari kitab Mukashafah al-Qulub (Penenang Jiwa) bab 103 karangan Imam al-Ghazali.

Sabtu, 28 Julai 2012

Fadhilat dan Kelebihan Ramadhan Al- Mubarak.......

Fadhilat dan Kelebihan Ramadhan Al Mubarak

on 12 August 2010


Bulan Ramadan adalah bulan yang diturunkan seribu rahmat oleh Allah S.W.T. kepada manusia untuk memperbanyakkan amal soleh. Selain dari kewajipan berpuasa di siang hari , Rasulullah S.A.W. juga menganjurkan supaya kita dapat mengerjakan solat tarawih sepanjang malam bulan Ramadan. Tarawih juga membawa maksud ‘ bersenang-senang atau duduk istirehat ‘. Jadi solat tarawih itu dilakukan secara bersenang-senang di setiap malam bulan Ramadan.

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W. di dalam sabdanya yang bermaksud: Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda : ‘ Barangsiapa yang mengerjakan ibadat dan beriman dan perhitungan di bulan Ramadan diampuni Allah dosanya yang telah lalu ‘.

Riwayat Bukhari dan Muslim. Di dalam sabdanya yang lain maksudnya: ‘Bahawasanya Allah telah mewajibkan puasa Ramadan, dan aku telah mensunahkan berdiri pada malamnya (solat tarawih), kerana mengharapkan akan Allah oleh seseorang iaitu dengan berpuasa pada siang hari dan solat (solat tarawih) pada malamnya, nescaya keluarlah (selamatlah) dia dari dosa seperti dia dilahirkan oleh ibunya’ .

Bagi sesiapa yang mengerjakan solat tarawih di sepanjang malam bulan Ramadan akan dijanjikan pahala yang amat besar oleh Allah. Saidina Ali bin Abi Talib Radiallah Anhu pernah bertanya kepada Rasulullah S.A.W., kemudian baginda menjawab ‘orang-orang mukmin yang melakukan solat tarawih pada bulan Ramadan akan mendapat kelebihan seperti berikut:

Malam pertama
Dosanya keluar seperti ia baru dilahirkan oleh ibu.
Malam kedua
Dosanya diampuni, begitu juga dosa kedua ibu bapanya jika keduanya itu orang mukmin.
Malam ketiga
Dipanggil oleh malaikat dari bawah Arasy dengan seruan ‘mulailah kamu beramal sebab Allah telah mengampuni dosamu yang telah lalu ‘.
Malam keempat
Pahalanya sama seperti orang yang membaca Kitab Taurat, Injil, Zabur dan Al-Quran.
Malam kelima
Pahala seperti orang yang solat di Masjid al Haram di Mekah, Masjid an Nabawi di Madinah dan Masjid al Aqsa di Palestin.
Malam keenam
Seperti pahala orang yang tawaf di Baitullah, batu-batu serta pasir turut sama memohonkan ampun baginya.
Malam ketujuh
Seperti orang yang hidup pada zaman Nabi Musa dan membantunya hingga dapat mengalahkan Fir’aun dan Haman.
Malam kelapan
Diberi oleh Allah segala apa yang pernah diberikan kepada Nabi Ibrahim.
Malam kesembilan
Seperti pahala beribadat kepada Allah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W
Malam kesepuluh
Dikurniakan oleh Allah kebaikan di dunia dan akhirat.
Malam kesebelas
Bersih dari segala dosa seperti baru dilahirkan dari kandungan ibu.
Malam kedua belas
Muka bercahaya di hari Kiamat.
Malam ketiga belas
Datang di hari Kiamat dengan keadaan aman dari segi kejahatan.
Malam keempat belas
Disaksikan oleh malaikat jika telah melaksanakan solat tarawih maka pada hari kiamat ia akan dibebaskan oleh Allah dari segala mudarat.
Malam kelima belas
Diminta ampun oleh para malaikat yang memikul Arasy dan kerusi.
Malam keenam belas
Dibebaskan dari api neraka dan dapat masuk syurga.
Malam ketujuh belas
Diberi pahala seperti pahala para nabi.
Malam kelapan belas]
Diseru oleh para malaikat bahawa Allah telah redha kepadamu dan kepada orang tuamu.
Malam kesembilan belas
Diangkat darjatnya ke dalam syurga firdaus.
Malam kedua puluh
Diberi pahala para syuhada dan solihin.
Malam dua puluh satu
Dibina rumahnya dari nur di dalam syurga.
Malam kedua puluh dua
Di hari Kiamat ia akan datang dengan aman dari segala kesusahan dan dugaan.
Malam kedua puluh tiga
Dibangunkan sebuah kota untuknya di syurga.
Malam kedua puluh empat
Pahala seperti dua puluh empat permohonan dikabulkan.
Malam kedua puluh lima
Dihapuskan dari seksa kubur.
Malam kedua puluh enam
Pahalanya diangkat selama empat puluh tahun.
Malam kedua puluh tujuh
Dapat melintasi sirat dengan laju bagaikan kilat menyambar.
Malam kedua puluh lapan
Allah mengangkat dengan seribu darjat.
Malam kedua puluh sembilan
Seperti pahala seribu haji yang mabrur.
Malam ketiga puluh
Dipersilakan oleh Allah makan buah-buahan syurga dan mandi dengan air salsabil serta minum dari telaga Kausar.

Ahad, 17 Jun 2012

KELEBIHAN SOLAT BERJEMAAH DAN HIKMAH BILANGAN RAKAAT DALAM SOLAT,,,,,

SEORANG professor fizik di Amerika Syarikat (AS) membuat satu kajian kelebihan solat berjemaah yang disyariatkan dalam Islam. Berdasarkan kajiannya, tubuh badan kita mengandungi dua cas elektrik, iaitu cas positif dan cas negatif. Dalam aktiviti harian kita, sama ada bekerja, beriadah atau berehat, sudah tentu banyak tenaga digunakan.
Dalam proses pembakaran tenaga, banyak berlaku pertukaran cas positif dan cas negatif, yang menyebabkan ketidakseimbangan dalam tubuh kita. Ketidakseimbangan cas dalam badan, menyebabkan kita berasa letih dan lesu selepas melakukan kegiatan seharian.
Oleh itu, cas ini perlu diseimbangkan semula untuk mengembalikan kesegaran tubuh ke tahap normal. Berkaitan dengan solat berjemaah, timbul persoalan dalam minda beliau, mengapa Islam mensyariatkan solat berjemaah dan mengapa solat lima waktu yang didirikan orang Islam mempunyai bilangan rakaat yang tidak sama.




Hasil kajiannya mendapati, bilangan rakaat berbeza dalam solat bertindak menyeimbangkan cas dalam badan kita.
Ketika solat berjemaah, kita disuruh meluruskan saf, bahu bertemu bahu dan bersentuhan tapak kaki. Tindakan yang dianjurkan ketika solat berjemaah itu mempunyai pelbagai kelebihan.
Kajian sains mendapati sentuhan yang berlaku antara tubuh kita dengan tubuh ahli jemaah lain yang berada di kiri dan di kanan kita, akan menstabilkan kembali cas yang diperlukan oleh tubuh.
Ia berlaku apabila cas yang berlebihan – sama ada negatif atau positif akan dikeluarkan, manakala yang berkurangan akan ditarik ke dalam tubuh kita. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang cas dalam tubuh kita.
Beliau berkata, setiap kali kita bangun dari tidur, badan kita akan berasa segar dan sihat selepas berehat beberapa jam.
Ketika ini tubuh kita mengandungi cas positif dan negatif yang hampir seimbang. Oleh itu, kita hanya memerlukan sedikit lagi proses pertukaran cas supaya keseimbangan tubuh badan yang penuh dapat dicapai. Sebab itu, solat Subuh didirikan dua rakaat.
Seterusnya, selepas sehari kita bekerja kuat dan memerah otak, semua cas ini kembali tidak stabil akibat kehilangan cas lebih banyak daripada tubuh badan yang sudah digunakan.
Oleh itu, kita memerlukan lebih banyak pertukaran cas. Solat jemaah yang disyariatkan Islam berperanan memulihkan keseimbangan cas berkenaan. Sebab itu, solat Zuhur didirikan empat rakaat untuk memberi ruang lebih kepada proses pertukaran cas di dalam tubuh.
Keadaan sama turut berlaku pada sebelah petang. Banyak tenaga dikeluarkan ketika menyambung kembali tugas. Ia menyebabkan sekali lagi kita kehilangan cas yang banyak.
Seperti solat Zuhur, empat rakaat solat Asar yang dikerjakan akan memberikan ruang kepada proses pertukaran cas dengan lebih lama.
Lazimnya, selepas waktu Asar, kita tidak lagi melakukan aktiviti yang banyak menggunakan tenaga. Masa yang diperuntukkan pula tidak begitu lama.
Maka, solat Maghrib hanya dikerjakan sebanyak tiga rakaat adalah lebih sesuai dengan penggunaan tenaga yang kurang berbanding dua waktu sebelumnya.
Timbul persoalan dalam fikiran professor itu mengenai solat Isyak yang dikerjakan sebanyak empat rakaat.
Secara logiknya, pada waktu malam kita tidak banyak melakukan kegiatan dan sudah tentu tidak memerlukan proses pertukaran cas yang banyak.
Selepas kajian lanjut dilakukan , didapati ada keistimewaan mengapa Allah mensyariatkan empat rakaat di dalam solat Isyak.
Kita sedia maklum, umat Islam digalakkan tidur awal supaya mampu bangun untuk menunaikan tahajud (sembahyang malam) pada sepertiga malam.
Ringkasnya, solat Isyak sebanyak empat rakaat itu akan menstabilkan cas dalam badan serta memberikan tenaga untuk kita bangun pada waktu malam untuk beribadat (qiamullail).
Dalam kajiannya, beliau mendapati bahawa Islam adalah agama yang lengkap dan istimewa. Segala amalan dan suruhan Allah itu mempunyai hikmah yang tersirat untuk kebaikan umat Islam itu sendiri.
Beliau berasakan betapa kerdilnya diri dan betapa hebatnya Pencipta alam semesta ini. Akhirnya, dengan hidayah Allah beliau memeluk agama Islam.
Oleh: Wan Marzuki Wan Ramli